mutakhir

Angkat martabat FELDA

Oleh Zanariah Abd Mutalib

WARGA Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Pengerusi FELDA yang baharu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA.

FELDA memaklumkan, pihaknya mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan Mohd Bakke yang dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

FELDA berkata, Mohd Bakke adalah bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP).

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dari London School of Economics, United Kingdom pada 1977 dan menjadi Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales (ICAEW) serta Ahli Institut Akauntan Malaysia.

“Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang hartanah, kewangan dan perladangan, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Hartanah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dari 1999 hingga 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pelantikan Mohd Bakke sebagai Pengerusi FELDA yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang melepaskan jawatan itu 30 Jun lalu.

Mohamed Azmin berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelantikan Mohd Bakke bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021.

Mengulas lanjut latar belakang Mohd Bakke, FELDA berkata, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji bermula 2001 hingga 2005, sebelum dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan FELDA Holdings Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELDA Global Ventures Holdings Berhad.

“Beliau juga ialah Ahli Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2004 hingga 2010. Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad pada 2010 hingga 2017.

“Selain menjadi Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, beliau kini menganggotai Lembaga Pengarah Petronas, Eastern & Oriental Berhad dan Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby,” katanya.

FELDA turut mengucapkan terima kasih kepada Megat Zaharuddin atas perkhidmatan cemerlang beliau di FELDA termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif pelan transformasi demi kebajikan sosioekonomi warga peneroka.

“Beliau menyumbang idea bernas dan memberi komitmen penuh dalam melengkapkan Kertas Putih FELDA demi menjamin masa depan peneroka,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:47pm
d