mutakhir

Hartanah tidak terjual di Johor bernilai RM36.754 bilion

Oleh Mohd Sabran Md Sani

HARTANAH tidak terjual di Johor sehingga suku pertama tahun ini membabitkan kediaman, komersial dan industri sebanyak 51,459 unit dengan nilai RM36.754 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, ia merangkumi keseluruhan semua jenis hartanah tidak terjual dalam semua jenis bangunan yang siap bina, dalam pembinaan dan belum dibina.

“Unit pejabat kecil pejabat rumah (SOHO) atau apartmen perkhidmatan mencatatkan bilangan dan nilai harta tidak terjual tertinggi di negeri Johor iaitu 30,127 unit yang bernilai RM20,783 bilion, diikuti harta kediaman 17,462 unit bernilai RM10,950 bilion.

“Johor Bahru adalah daerah yang merekodkan bilangan dan nilai harta tidak terjual tertinggi iaitu 76.46 peratus bagi harta kediaman.

“Sebanyak 99.7 peratus bagi SOHO atau apartment perkhidmatan, 65.11 peratus bagi kedai dan 81.4 peratus bagi harta industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Tun Siong (PH DAP-Pekan Nanas) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Kota Iskandar di Iskandar Puteri, hari ini.

Dalam soalan lisannya, Yeo ingin mengetahui apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah lambakan rumah tidak terjual di negeri ini yang semakin meruncing.

Beliau juga ingin senarai bilangan hartanah tidak terjual dengan nilai, lokasi dan jenisnya di negeri ini.

Ini kerana menurut Laporan Pasaran Hartanah 2018 terbitan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Johor memiliki jumlah hartanah kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia iaitu 6,066 unit bernilai RM4.068 bilion.

Katanya, bagi harta kediaman, jenis kediaman teres dua hingga tiga tingkat mencatatkan bilangan harta kediaman tidak terjual tertinggi iaitu 6,518 unit bernilai RM3.727 bilion.

“Ia diikuti kondominium atau apartment 5,643 unit bernilai RM2.640 bilion dan rumah teres dua hingga tiga tingkat berharga RM1 juta ke atas adalah kediaman tertinggi tidak terjual yang mewakili 50.3 peratus.

“Manakala bagi kondominium atau apartment berharga RM600,000 ke atas adalah 60.8 peratus,” katanya.

Bagi mengatasi isu hartanah kediaman tidak terjual sebagaimana Laporan Pasaran Hartanah 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kerajaan Negeri mengambil langkah bagi mengatasi isu itu.

“Antaranya pemohon dikehendaki melampirkan borang had kelayakan pinjaman perumahan dari mana-mana bank atau institusi kewangan bagi mengatasi masalah pemohon tidak melepasi pembiayaan perumahan selepas tawaran rumah dikeluarkan.

“Pemohon juga dikehendaki melampirkan penyata simpanan kewangan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah yang dipohon,” katanya.

Katanya, projek-projek yang masih berbaki atau belum habis ditawarkan akan dibuka untuk jualan secara langsung oleh Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan.

“Ia meliputi sama ada lot Bumiputera mahupun Rumah Mampu Biaya Johor bagi kemudahan penawaran secara terus kepada pemohon (memenuhi syarat kelayakan sebagaimana yang ditetapkan) yang berminat untuk projek berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 11:59am
d