mutakhir

RM15 di tangan berlumuran darah

Oleh Ramli Ibrahim

LELAKI Bangladesh berusia 39 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam sebuah kereta di Kilometer 60 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Gua Musang, semalam.

Mangsa ditemui oleh orang awam di tempat duduk pemandu kereta Proton Gen2 kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maudin berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu, jam 1.15 tengah hari.

“Kereta yang dinaiki mangsa berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Lojing ke Gua Musang berhampiran simpang ke Pos Hendrop.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kelar di leher mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui pisau sepanjang 23 sentimeter di dalam kereta yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

“Anggota kita turut menemui duit RM15 di tangan kanan mangsa yang berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 12:45pm
d