mutakhir

Panik anak terperangkap dalam kereta

Oleh Garret Dawum

SEORANG ibu menempuh detik cemas apabila bayi perempuannya berusia empat bulan terperangkap dalam kereta ketika memberhentikan kenderaannya di hadapan tadika di Kota Samarahan, hari ini.

Difahamkan, wanita itu menghantar dua lagi anak perempuannya yang berusia tiga serta empat tahun ke tadika terbabit dan meninggalkan bayinya dalam kereta Proton Persona dinaikinya.

Wanita terbabit hanya meninggalkan bayinya itu beberapa minit sebelum kembali semula ke kenderaannya, namun panik selepas gagal membuka pintu kereta.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.25 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerah dalam operasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati seorang bayi berada di tempat duduk penumpang depan kereta berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut jurucakap itu, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu kereta itu menggunakan peralatan khas.

“Bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan dibawa keluar sebelum diserahkan kepada ibunya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.40 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 12:46pm
d