mutakhir

Mokhtar tarik diri siasat kehilangan Koh, Amri

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BEKAS Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor menarik diri secara sukarela daripada Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kes kehilangan pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), keputusan dibuat atas rasa tanggungjawab beliau untuk memelihara integriti dan ketelusan PPK ekoran tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan kesesuaian keanggotaan beliau dalam pasukan berkenaan.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan mempersoalkan pelantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terbabit secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Koh dan Amri.

“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau bukan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini,” katanya, hari ini.

Kenyataan KDN juga menjelaskan, pelantikan Mokhtar dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakaran beliau sebagai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu perundangan PDRM yang boleh membantu PPK menjalankan fungsinya.

“KDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau di atas komitmen untuk membantu mencari keadilan kepada keluarga mangsa kehilangan selain kesanggupan untuk mengambil kira pandangan awam mengenai keahlian beliau dalam PPK supaya tidak menjejaskan kredibiliti siasatan dan hasil laporan yang akan dikemukakan nanti.

“Pelantikan ahli baharu PPK sebagai pengganti beliau akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan enam ahli PPK dengan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda dilantik sebagai Pengerusi PPK bagi menyiasat kes kehilangan pastor Koh dan aktivis sosial, Amri.

Selain Mokhtar, empat lagi ahli ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-Undang, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Russaini Idrus.

Koh, 64, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 1:08pm
d