mutakhir

'Senang je ujian PSV'

Oleh Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling

“SAYA sendiri jawab soalan ujian Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) semalam dan lulus 82 markah," kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, soalan-soalan ujian itu tidak sukar kerana majoritinya berdasarkan logik.

Katanya, ia menjadi kelebihan kepada pemandu-pemandu yang mengikuti kursus sebelum menduduki ujian berkenaan.

"Saya tidak ikuti kursus dan boleh menjawab 49 daripada 60 soalan, apatah lagi bagi mereka yang berkursus pasti lebih mudah," katanya kepada media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali berkata, kurang 10 peratus daripada 200,000 pemandu perkhidmatan e-hailing memiliki PSV.

Katanya, faktor seperti yuran yang mahal dan ujian susah sebagai masalah yang dihadapi mereka.

Loke berkata, tiada masalah untuk mengulangi ujian berkenaan pada kali kedua dan seterusnya sekiranya calon gagal ujian kali pertama.

"Tiada masalah, mereka boleh menduduki semula, tiada siapa yang halang. Mereka ada kursus dan boleh menduduki semula.

"Kali pertama mungkin tidak arif, tapi kalau gagal mereka boleh daftar dan duduki semula pada hari kedua dan seterusnya," katanya.

Berita berkaitan

62 peratus lulus ujian PSV

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 1:43pm
d