mutakhir

Pembantu kedai didakwa edar syabu

Oleh Norizuan Shamsuddin

SEORANG pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 154.3 gram.

Tertuduh, Wan Ahmad Zamil Hakim Wan Zulkifli, 25, mengangguk faham ketika dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methampetamine dianggarkan seberat 154.3 gram di sebuah garaj rumah di Jalan Kubang Buyong, jam 12 tengah hari pada 19 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, dua lelaki dipercayai orang tengah dalam urusan jual beli dadah ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.

Selain menahan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 25 tahun serta merampas pil kuda, syabu dan kodein.

Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM3,000 dan wang tunai RM1,150.

Dalam tangkapan itu, tertuduh ditahan bersama tiga paket plastik cerah mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu dianggarkan bernilai RM10,500 dalam poket seluarnya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 4:14pm
d