mutakhir

Padah curi rakam dada wanita

Oleh Sarah Zulkifli

TINDAKAN seorang lelaki merakamkan foto dada seorang pekerja wanita membawa padah apabila didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di sebuah restoran makanan segera.

Majistret Nor Arifin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Ho Dee Chan, 55, selepas mengaku salah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Lelaki yang pernah dirawat di hospital kerana mengalami masalah psikiatri itu tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didapati berkelakuan tidak senonoh dengan merakam gambar mangsa berusia 27 tahun yang sedang bekerja di restoran itu.

Kesalahan itu dilakukan di restoran makanan segera di SS 2/64 jam 11.15 malam, 21 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 memperuntukkan denda maksimum RM100.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh merayu mahkamah meringankan hukuman atas alasan tertuduh tidak bekerja dan pernah mengalami masalah psikiatri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim kemudian memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 4:31pm
d