mutakhir

Merindui kebebasan di luar tirai besi

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SUDAH empat kali saya menghantar surat pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan selagi itu, saya tidak akan berputus asa,” kata seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Pok Li.

Pok Li, 65, adalah antara 21 banduan yang diraikan dalam Program Jalinan Kasih Peringkat Penghuni Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Pusat Koreksional Machang, di Machang, hari ini.

Dia berasal dari Kampung Kemubu, Kok Lanas dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hajat sejak 2001 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyertai Pertubuhan Al-Ma’unah.

“Saya mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 2001, kemudian dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa lebih sebulan dan akhirnya ditukarkan ke Pusat Pemulihan Akhlak, Machang bermula 2013 hingga sekarang.

“Setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak sabar melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak 19 tahun lalu, selain mahu bersama cucu dan anak,” katanya.

Bapa kepada lapan anak dan tujuh orang cucu ini berkata, ketika berada di penjara, dia diberi tanggungjawab untuk mengimamkan solat, menyampaikan tazkirah kepada banduan, selain memimpin bacaan doa setiap hari di awal pagi.

Katanya, sekiranya dia dibebaskan kelak, dia mahu mendidik cucu-cucunya supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar sehingga memudaratkan diri sendiri.

“Jika berkesempatan, saya mahu mendidik mereka ke jalan yang baik kerana sepanjang berada di penjara, ia mengajar saya banyak erti kebebasan yang sebenar apabila kita terpisah dari dunia luar.

“Saya cuma berharap untuk bebas dan menjalani kehidupan baru di luar sementara masih ada usia dan amat merindui suasana apabila bersama isteri dan anak,” katanya

Sementara itu, Penolong Kanan Komisioner (PKK), Zaidi Hamid berkata, program Jalinan Kasih yang diadakan itu membabitkan 80 ahli keluarga banduan.

“Banduan yang terpilih untuk program ini adalah mereka yang menunjukkan kelakuan dan disiplin yang baik, termasuk banduan yang sudah lama menerima hukuman di sini.

“Kita mahu beri mereka peluang untuk bermesra dengan keluarga masing-masing.

“Pada masa masa, kami juga sudah sedaya upaya memulihkan mereka dengan pelbagai program pemulihan dan berharap agar masyarakat di luar sana memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 5:17pm
d