mutakhir

Suka tengok orang mati ke?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEORANG penunggang motosikal koyak jari kelingking kiri akibat terlanggar tali tangsi dipercayai dipasang pihak tidak bertanggungjawab yang berniat mahu mencederakan pengguna jalan raya.

Kejadian berlaku sekitar jam 6 petang, semalam, di laluan susur masuk ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Greenwood.

Malah, kejadian berlaku terhadap mangsa, Mohamad Syazwan Mohd Jelani, 28, bukan kali pertama berikutan sebelum ini beberapa mangsa pernah mengalami situasi sama dan mengalami kecederaan akibat terlanggar tali tangsi yang melintangi jalan berkenaan.

Menurut Mohd Syazwan, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Sri Gombak menuju ke Kuala Lumpur sebelum terlanggar sesuatu sebaik memasuki susur masuk ke DUKE.

“Memang ketika itu saya bergerak paling hadapan berbanding penunggang motosikal lain sebelum terasa ada sesuatu terlekat pada bahagian muka seterusnya turun ke leher menyebabkan motosikal hampir hilang kawalan.

“Saya terus memegang leher dan terpegang sesuatu seakan tali, namun ia tidak putus dan sempat menolaknya ke atas melepasi topi keledar sebelum menyedari jari terasa panas dan pedih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syazwan berkata, sebaik berhenti di tepi jalan, dia menyedari kulit jari kelingking terkoyak dan luka.

“Selepas itu, beberapa penunggang lain di belakang memberitahu saya terlanggar tali tangsi berkemungkinan tali layang-layang.

“Tetapi saya rasa ia bukan tali layang-layang kerana kawasan itu tidak sesuai bermain layang-layang selain sebelum ini ada individu lain pernah cedera terlanggar tali tangsi melintangi jalan sama,” katanya.

Menurut Syazwan, dia akan membuat laporan polis bagi mengelak pengguna jalan raya lain menerima nasib sama sepertinya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:10pm
d