mutakhir

Apa sudah jadi?

Oleh Raja Norian Hidayah Raja Abdul Aziz

INSIDEN pelajar mabuk sehingga tidak sedarkan diri semalam menimbulkan tanda tanya bagaimana mereka boleh mendapatkan minuman keras itu dengan mudah sedangkan mereka masih bawah umur.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohamad Razali Mustafar juga mempersoalkan tindakan pengurusan sebuah premis di Kuantan yang sewenang-wenangnya membenarkan pelajar sekolah membeli minuman keras.

Katanya, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai perkara itu daripada tiga pelajar yang terbabit dalam ‘sesi’ minum minuman keras itu dan akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Saya sudah bercakap dengan Yang di-Pertua MPK, Datuk Hamdan (Hussin) mengenai perkara itu dan beliau akan menyiasat mengenainya, jika benar pemilik premis perlu dikenakan tindakan tegas.

“Premis lain yang turut menjual minuman keras seharusnya lebih tegas dengan menghalang sebarang penjualan minuman itu kepada pelajar sekolah lebih-lebih lagi mereka yang memakai pakaian seragam sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Cemerlang (APC) Jabatan Pelajaran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

Mengikut undang-undang, penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berusia 21 tahun ke bawah adalah dilarang.

Sementara itu, Razali menolak dakwaan pelajar berkenaan kononnya dia dipaksa meminum campuran minuman keras dan air bergas sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri.

“Berdasarkan keterangan yang kita ambil daripada dua rakan pelajar itu, mereka berkongsi wang untuk membeli minuman keras itu di sebuah pasar raya berhampiran kerana teringin merasa minuman itu pada 11.20 pagi.

“Mereka kemudiannya masuk ke kawasan sekolah dan mendapati perhimpunan sesi petang sedang berlangsung sebelum mengambil keputusan melepak di belakang sekolah dan minum minuman keras itu sebelum salah seorang daripada mereka tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, berdasarkan semakan di sekolah, ketiga-tiga pelajar itu tidak mempunyai masalah disiplin .

“Kita akan mengadakan sesi kaunseling untuk ketiga-tiga pelajar ini kerana pendekatan itu dirasakan lebih baik berbanding menghukum mereka.

“Selepas pelajar yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan dibenarkan pulang, kita akan mengambil keterangan daripadanya,” katanya.

Media melaporkan pelajar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang ramai akibat terlalu mabuk kerana mengambil minuman keras.

Berita berkaitan

'Saya dipaksa...'

Pelajar mabuk, tidak sedarkan diri

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:23pm
d