mutakhir

Pantau tiga kali sehari

Oleh Muhamaad Razis Ismail

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pemantauan tiga kali sehari kualiti udara dalam radius 15 kilometer (km) di Pasir Gudang, Johor susulan insiden pencemaran udara di kawasan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, pemeriksaan mendapati kualiti udara di kawasan itu sudah stabil dan tidak mengancam nyawa.

Katanya, kini hanya Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Johor masih menjalankan pemantauan di kawasan terbabit manakala pasukan dari Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sudah kembali negeri masing-masing.

“Pasukan bomba Johor memiliki peralatan Gasmate untuk memantau bacaan nilai Volatile Organic Compund (VOC) benda asing di banyak lokasi dalam radius 15 km berkenaan.

“Buat masa ini, kualiti udara masih dipantau namun lebih baik berbanding sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh leka dan pemeriksaan kandungan udara selain pengambilan sampel akan diteruskan kerana dibimbangi keadaan boleh mengancam nyawa.

“Kita masih mencari punca dengan kerjasama agensi berkaitan untuk memastikan sama ada ia disebabkan daripada pembuangan bahan atau sisa toksik, kita belum dapat jumpa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Mesra bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Mohamad Hamdan berkata, JBPM merekodkan penurunan kes kesalahan tatatertib dalam tempoh empat tahun dalam kalangan anggota bomba.

“Pada 2015 kita merekodkan 115 kes dan jumlah itu menurun pada 2016 dan 2017 iaitu 108 kes dan tahun lalu hanya 61 kes.

“Tahun ini, tujuh anggota ditamatkan tugas selepas didapati melanggar peraturan ditetapkan termasuk gagal hadir bertugas serta terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

“Unit Integriti JBPM sentiasa bergerak aktif memantau gerak kerja dan kelakuan kira-kira 15,000 anggota di seluruh negara supaya mematuhi peraturan terutama dari aspek kekemasan diri dan pelaksanaan tugas dan tidak akan berkompromi dengan kakitangan yang melanggar peraturan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:27pm
d