mutakhir

Alhamdulillah..Rezeki nikah dapat tunai haji bersama

Oleh Mohamad Hussin

“PERKAHWINAN kali kedua adalah kemuncak kebahagiaan kami selepas ditawarkan menunaikan haji tahun ini walaupun sudah lama menunggu menjadi tetamu Allah SWT.

“Saya memang menyimpan hasrat menunaikan haji bersama suami selepas berkahwin pada 2017,” kata Zaimah Zainal Abidin, 67, antara bakal jemaah yang akan mengerjakan musim haji 1440 Hijrah/2019.

Pesara kerajaan itu berkata, dia dan suami, Azmi Yusof, 62, yang pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu mula berkenalan ketika bersama-sama berjemaah di Surau al-Ikhsan, Sungai Chua, Kajang.

“Memang dah jodoh kami disatukan. Selepas berkahwin, saya dan suami berazam untuk menunaikan haji bersama-sama.

“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Allah SWT dan mula mengikuti kursus haji serta menyimpan duit sejak beberapa tahun lalu.

“Perkahwinan kami juga hasil usaha kariah surau yang mahu kami disatukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Chua, Kajang, hari ini.

Pasangan duda dan ibu tunggal masing-masing mempunyai empat cahaya mata menerima tawaran daripada Tabung Haji (TH) pada awal Mei lalu.

Zaimah berkata, pada mulanya, dia keberatan menerima tawaran itu kerana suaminya tidak berjaya dalam permohonan itu.

“Selepas membuat rayuan kepada TH, akhirnya permohonan suami berjaya diterima. Inilah kemuncak kebahagiaan dan rezeki kami selepas disatukan.

“Hati saya terpaut pada suami apabila melihat keikhlasannya. Kami sudah lama hidup membujang dan keinginan untuk hidup berpasangan pasti ada bagi setiap insan.

“Lagi pun kami memang aktif dengan kegiatan di surau kerana saya adalah ketua biro wanita manakala suami sebagai siak di surau berkenaan,” katanya yang bakal berlepas ke Tanah Suci pada 1 Ogos ini.

Sementara itu, bagi pasangan Mat Isa Wahab, 54, dan isteri, Norsiah Achil, 51, akan berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji, Jumaat ini.

Norsiah berkata, dia dan suami menerima tawaran daripada TH pada Disember tahun lalu selepas hampir 10 tahun menunggu.

“Saya dan suami membuat simpanan TH melalui potongan gaji sebanyak RM50 sebulan sejak 2009.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk melihat Kaabah kerana ia seolah-olah melambai pada saya setiap kali selepas solat.

“Alhamdulillah, segala persiapan sudah dibuat cuma menunggu masa untuk berlepas,” katanya yang pertama kali menunaikan ibadat haji bersama suaminya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:52pm
d