mutakhir

Levi penumpang udara mula 1 September

Oleh Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN akan menguatkuasakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara mulai September ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, levi berkenaan akan diperkenalkan selepas musim haji tahun ini.

“Selain itu, memang ada cadangan membezakan levi mengikut kadar kelas penerbangan iaitu ekonomi sebanyak RM8 bagi negara ASEAN dan kelas pertama serta perniagaan sebanyak RM20 tetapi belum ada keputusan mengenainya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019.

Berdasarkan RUU kontroversi itu, RM20 akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terbang ke negara ASEAN dan RM40 untuk negara lain.

Ketika membentangkan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan ke atas semua penumpang penerbangan yang keluar negara mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Levi itu tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan lapangan terbang.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 7:35pm
d