mutakhir

'Sesiapa yang ambil adik, pulangkanlah...'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“SAYA merayu sesiapa yang ambil adik, pulangkan dia ke pangkuan keluarga kami,” kata Saifudin Mohd, 15.

Saifudin berkata, adiknya, Mohd Saiful Aiman Mohd, 9, kali terakhir dilihat di rumah keluarga mereka, pagi semalam.

“Saya sempat lihat dia bangun sebelum sambung tidur bersama adik bongsu berusia tiga tahun kerana tidak mahu ke sekolah hari itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Seratus, hari ini.

Ibunya Siti Ruziana Sidek , 35, berkata, Saiful Aiman yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2 keluar membeli nasi sekitar 9 pagi sebelum balik ke rumah.

“Ketika saya mahu ke tempat kerja memproses isi ikan di Kampung Pachakan sekitar 10 pagi dia juga mahu keluar, saya ingatkan dia ke rumah kawan sahaja tetapi tidak sangka langsung tidak balik.

“Dia keluar rumah dengan berpakaian jersi (bola sepak) Malaysia berwarna kuning dan berseluar pendek warna biru.

“Ketika saya balik kerja sekitar 4.30 petang, dia tidak balik hingga sekarang dan usaha mencari diteruskan di sekitar Besut dan kawasan berdekatan dengan bantuan keluarga, rakan serta turut membuat laporan polis 11 malam semalam,” katanya.

Saiful Aiman yang juga anak ketiga dari empat beradik itu disifatkan peramah dan mudah membantu orang lain.

Saifudin berkata, adiknya gemar keluar berjumpa rakan sebaya dan akan pulang ke rumah sekitar 6 petang.

“Dia tidak pernah bermalam di rumah rakan dan ini kali pertama hampir dua malam tidak pulang ke rumah tanpa sebarang berita,” katanya.

Dalam pada itu ada penduduk memaklumkan kepada ibu mangsa sempat melihat Saiful Aiman menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna gelap menghala ke ke arah Tok Bali.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan kejadian dan operasi mengesan mangsa sedang giat dijalankan.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 8:40pm
d