mutakhir

Kolam jadi 'tong sampah' [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

SEBUAH kolam yang terselindung di sebalik semak samun di Kawasan Perindustrian, Taman Melur, Batang Benar, Nilai dikesan dijadikan tempat pembuangan sisa bahan kimia dari sebuah kilang memproses produk aluminium.

Difahamkan, hasil pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan 3 petang tadi mendapati bahan logam berat dikenali soda kaustik itu dikesan sedalam kira-kira semeter di kolam takungan seluas 1.2 hektar berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kilang berkenaan diarah tutup selama dua minggu selepas didapati membuang sisa industri ke kawasan yang tidak dibenarkan JAS.

“Hasil pemeriksaan bersama JAS di kilang ini, kami dapati kilang menyalurkan air buangan iaitu sisa dari bahan kimia untuk penghasilan produk aluminium ke kolam yang berada di tepi premis.

“Bahan berkenaan dipercayai soda kaustik iaitu campuran beberapa logam berat.

“Kesannya pokok yang tumbuh di sekitar kolam berkenaan mati dan JAS sudah mengambil sampel bahan berkenaan untuk pemeriksaan dan siasatan,” katanya ketika sidang media sejurus tamat pemeriksaan hari ini.

Beliau berkata, sisa buangan industri di dalam kolam itu bagaimanapun tidak mengalir ke mana-mana saliran atau sungai dan berdasarkan pemeriksaan awal ia tidak memberikan tindak balas terhadap kulit manusia.

“Bahan kimianya mencapai tahap bacaan pH 12 iaitu bahan beralkali.

“Kilang ini mempunyai loji rawatan air, namun didapati mengalami kerosakan dan JAS mengarahkan kilang ini ditutup dua minggu bermula semalam bagi membersihkan bahan buangan dan membaik pulih loji.

“Kilang ini menyalahi peraturan mengikut Seksyen 34b dan 24 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana kesalahan pelepasan buangan terjadual serta pelepasan air efluen perindustrian.

“Sabit kesalahan boleh dikompaun RM100,000,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 9:51pm
d