mutakhir

Lesap RM2,000...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENOLONG pegawai perubatan kerugian RM2,000 selepas beg tangannya dilarikan dua penjenayah menaiki motosikal yang memecah cermin keretanya di Jalan Gombak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun memberhentikan kenderaan utilti sukan (SUV) Kia Sorento dipandunya di persimpangan lampu isyarat di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, berdasarkan laporan polis diterima, mangsa memaklumkan cermin kenderaannya di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dipecahkan dua lelaki menaiki motosikal.

“Ketika kereta mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit, sebuah motosikal dinaiki dua suspek menghampiri kenderaan wanita berkenaan.

“Mangsa kemudian terdengar bunyi ketukan pada cermin di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang pecah akibat dihentak oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rajab berkata, selepas memecah cermin kenderaan mangsa, suspek bertindak mengambil beg tangan mangsa sebelum memecut motosikal dinaiki mereka.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM2,000 apabila beg tangannya yang mengandungi sejumlah wang tunai, kad pengenalan diri dan kad bank dilarikan penjenayah berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diberikan mangsa, kami sudah mengenal pasti identiti suspek dan usaha memburu kedua-dua penjenayah berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 10:14am
d