mutakhir

Arah tutup operasi - TPM

Oleh Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan operasi rumah pengasuh, lokasi kejadian budak 12 tahun merogol anak asuhan berusia empat tahun di Batu Gajah, Perak, ditutup.

Beliau menegaskan, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah ke rumah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka leka dengan telefon pintar sehingga terdedah kepada kandungan berunsur lucah.

“Sepatutnya anak-anak dipantau apabila diberi telefon pintar.

“Berkaitan rumah itu, dia mengasuh lapan kanak-kanak dan tidak berdaftar. Sepatutnya mesti daftar sekiranya mengasuh lebih empat kanak-kanak atau bayi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan mesti memantau dengan lebih ketat pusat asuhan yang tumbuh melata ketika ini.

“Pihak berkuasa sudah mengambil tindakan perlu demi kebaikan semua pihak.

“Ibu bapa yang bekerja memang tiada pilihan selain menghantar anak ke pusat asuhan, tapi susah untuk pantau semua kerana kita tidak tahu di mana lokasi. Di Putrajaya pun banyak tak daftar,” kata beliau.

Kelmarin, budak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dijaga oleh ibunya di rumah mereka di Batu Gajah.

Suspek yang juga murid Tahun Enam dipercayai sudah melakukan perbuatan jijik itu terhadap mangsa sebanyak tiga kali, sejak awal Ramadan lalu.

Difahamkan, ibu suspek berusia 42 tahun tidak bekerja dan hanya mengambil upah mengasuh lapan kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun dari 6.30 pagi hingga 9 malam.

Berita berkaitan

Budak 12 tahun merogol anak asuhan

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 12:46pm
d