mutakhir

Jumpa bayi dalam kotak

Oleh Mohd Rizal Abdullah dan Noorazura Abdul Rahman

PERASAAN ingin tahu seorang lelaki membawa kepada penemuan bayi lelaki di dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di bawah pokok di Jalan Jelai, Alor Setar, pagi semalam.

Bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui Husaini Hassan, 40, dalam keadaan dibalut dengan selimut.

Isteri Husaini, Salina Ahmad, 41, berkata, kejadian disedari ketika suaminya melalui kawasan itu untuk meracun rumput di rumah berhampiran.

“Pada mulanya, suami sudah nampak kotak berkenaan, tetapi dia tidak mengendahkannya dan terus ke rumah jiran untuk meracun rumput.

“Bagaimanapun, suami berasa tidak sedap hati kembali semula ke lokasi berkenaan,” katanya.

Katanya, suaminya itu kemudian membuka kotak itu dan tergamam apabila mendengar tangisan bayi.

“Suami panik dan terus membawa bayi itu ke sekolah berhampiran bagi meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 8.20 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis mendapati bayi berkenaan sudah diberikan susu dan ditukar lampin oleh kakitangan sekolah.

“Bayi sudah dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Mohd Rozi berkata, bayi itu kini ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 2:57pm
d