mutakhir

Peniaga disamun, dipukul, diacu pisau

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PENIAGA wanita berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki di kedai runcit miliknya di kilang kelapa sawit di Jeram Padang, Jempol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian pada 11 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 48 tahun bersendirian di kedainya itu.

Menurutnya, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali dengan menyamar sebagai pelanggan mahu membeli air mineral melalui pagar kedai.

“Ketika mangsa mengambil air mineral, suspek membuka pagar dan kemudiannya masuk ke dalam kedai.

“Seorang daripada suspek bertindak menutup mulut mangsa dan mengacukan pisau ke lehernya, manakala seorang lagi suspek menyelongkar kedai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong tetapi ditumbuk oleh suspek beberapa kali di bahagian badan serta muka.

“Suspek turut meragut dua rantai emas, rantai tangan dan subang hidung yang dipakai mangsa serta melarikan wang tunai sebanyak RM400 bersama telefon bimbit milik mangsa,” katanya.

Menurutnya, kerugian dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM10,500 selain turut mengalami kecederaan lebam di bahagian muka, luka di belakang badan dan patah ibu jari kaki.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, mangsa membuat laporan dan polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:01pm
d