mutakhir

[UPDATE] 'Saya ikut Mak Su'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

TINDAKAN Muhammad Saiful Aiman Mohammad, 9, menerima pelawaan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Mak Su’ bersiar-siar menimbulkan kebimbangan terhadap keluarga kerana disangkakan hilang.

Difahamkan Mak Su yang juga warga Thailand berusia lingkungan 60-an baru sahaja beberapa bulan menetap di Jertih, dan bekerja sebagai tukang sapu sampah.

Saiful Aiman berkata, pada awalnya dia pergi berjalan ke rumah wanita itu yang juga kenalan ibunya untuk berbual dengan Mak Su.

“Saya sering ikut Mak Su keluar makan dan hari itu Mak Su baru nak keluar dari rumah, dia ajak saya ikut sekali. Mulanya saya hanya bergurau mahu ikut sebelum menaiki keretanya kerana sangka mahu pergi ke kawasan berdekatan.

“Mak Su tak beritahu nak ke mana dan saya terus ikut dia naik bas hingga ke Pengkalan Kubur, Kelantan dan menaiki perahu menyeberang sungai masuk ke Thailand sebelum ke rumah anaknya di Selatan Thailand pada petang kelmarin.

“Saya ada beritahu Mak Su nak balik keesokan harinya kerana rasa tidak seronok duduk di sana, selain memikirkan keluarga di kampung,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Jertih, hari ini.

Sementara itu ibunya, Siti Ruziana Sidek, 35, berkata, dia tidak mengenali rapat dengan Mak Su dan tidak menyangka wanita itu akan membawa anak ketiganya daripada empat beradik itu sehingga ke Thailand.

“Saya pernah sekali dua tegur ketika berjumpa, tetapi jarang berborak panjang kerana kesuntukan masa untuk ke tempat kerja, tetapi Saiful Aiman jenis peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja.

“Dia tidak pernah ikut orang hingga tidak balik rumah dan ini kali pertama kejadian seumpamanya menyebabkan saya terlalu risau keadaannya,” katanya.

Siti Ruziana berkata, dia bersama guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, Zamri Mohd Noor dan beberapa anggota polis pergi mengambil Saiful Aiman, 12.20 tengah hari tadi di Pengkalan Kubur, iaitu kawasan sempadan antara Kelantan dan Thailand.

“Ketika saya jumpa Saiful Aiman tadi dia hanya senyap dan kelihatan letih kerana berjalan jauh sehelai sepinggang sejak dua hari dilaporkan hilang. Syukur dia selamat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya berharap kejadian itu tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada orang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kes kanak-kanak itu dianggap selesai dan ditutup kerana mangsa dijumpai selamat.

“Bagaimanapun kita bawa dia ke Hospital Besut untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi melengkapkan prosedur kes. Dengan ini kita menafikan spekulasi mengaitkan kehilangan budak ini sebagai kes culik,” katanya.

Sebelum ini murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2 dilaporkan hilang pagi kelmarin (Isnin), selepas kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta Perodua Kancil menghala ke arah Tok Bali, Kelantan.

Berita berkaitan

Jauhnya kau menghilang dik...

'Sesiapa yang ambil adik, pulangkanlah...'

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:05pm
d