mutakhir

Menjawab la mung...

Oleh Norizuan Shamsuddin

DUA lelaki termasuk seorang remaja direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Terengganu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 16 dan 18 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Roszita Md Saad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kedua mereka ditahan susulan satu laporan berhubung kes rogol remaja bawah umur yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 3.50 petang semalam.

Menurut sumber, kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang pengsan di sekolahnya dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil siasatan dilakukan mangsa kemudiannya memaklumkan beberapa kali dirogol oleh suspek berusia 18 tahun yang juga teman lelakinya di dua lokasi sejak awal tahun lalu.

“Mangsa turut mendakwa dicabul dua lagi lelaki ketika berada di kedai milik teman lelakinya itu kira-kira 8 pagi pada Ahad lalu.

“Susulan kejadian itu, polis menahan kedua suspek di sekitar Kuala Terengganu kira-kira 8 malam tadi,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:25pm
d