mutakhir

`Minta izin sebelum dihanyutkan arus'

Oleh Mohd Azim Fitri Abd Aziz

PEMANCING dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika sedang menangkap ikan di Sungai Semantan dekat Kampung Kuala Kaung di Temerloh, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, lelaki berusia 60-an itu dikatakan terlebih dulu meminta izin daripada tukang kebun di kawasan berkenaan untuk memancing sebelum dihanyutkan arus sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab Mohd Kamarudin Mohd Saufi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.39 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian 28 minit kemudian.

“Berdasarkan keterangan awal saksi kejadian yang juga tukang kebun di kawasan itu dimaklumkan mangsa ada berbual dengannya dan meminta izin untuk memancing di kawasan itu.

“Beberapa minit kemudian tukang kebun itu mendakwa mendengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum mendapati mangsa sudah dihanyutkan arus sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa memancing bersama seorang lagi rakannya dan pihak berkuasa sedang cuba mengesan rakan mangsa bagi mendapatkan keterangannya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya sudah membuka pusat kawalan operasi bagi menggerakkan misi mencari dan menyelamat mangsa.

“Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga sudah dimaklumkan dan buat masa ini seramai 13 pegawai dan anggota sedang melakukan pencarian di kawasan permukaan sungai,” katanya.

Beliau berkata, operasi dijangka diteruskan semula esok memandangkan keadaan cuaca sudah gelap.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 9:06pm
d