mutakhir

Ditipu jual saham RM2.5 juta

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGARAH sebuah syarikat mengalami kerugian kira-kira RM2.5 juta selepas mendakwa ditipu berkaitan dengan penjualan saham syarikatnya selepas wang tidak dimasukkan ke dalam akaunnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lelaki berusia 34 tahun berkenaan juga menafikan dia ada menandatangani beberapa dokumen.

Menurutnya, mangsa mendakwa suspek menggunakan dokumen berkenaan untuk mengeluarkan wang daripada peguam tanpa pengetahuannya.

Katanya, mangsa yang berasa tertipu kemudiannya membuat laporan pada 26 April lalu di Balai Polis Selayang.

“Susulan laporan itu, polis kemudiannya mengesan individu yang bertanggungjawab dan menahan suspek pertama berusia 33 tahun yang juga seorang ahli perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam.

“Suspek kedua yang bekerja sebagai akauntan pula ditahan di kawasan Selayang pada hari sama bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, kedua-dua lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 10:00pm
d