mutakhir

Padah ugut bunuh bapa

Oleh Norizuan Shamsuddin

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mengugut mahu membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah, 28 Jun lalu.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Mohammed Redzuan Yusof, 29, turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membunuh ayahnya, Yusof Nik, 73, di sebuah rumah di Kampung Kuala Bekah, Jalan Pulau Musang di Kuala Terengganu, 10.30 pagi 28 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Portal Harian Metro melaporkan seorang lelaki yang baru beberapa hari keluar dari Hospital Kuala orang, Hulu Terengganu kerana menjalani rawatan mental bertindak agresif dengan membaling batu ke arah kereta jiran dan turut mengugut akan membakar rumah serta membunuh ahli keluarganya.

Kejadian didakwa berlaku selepas lelaki terbabit tidak berpuas hati kerana ditegur bapanya.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 10:31pm
d