mutakhir

PKR pecat Haziq

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

PKR memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Biro Politik PKR membuat keputusan itu selepas menerima syor Lembaga Disiplin parti yang dibentangkan malam ini.

Katanya, surat pemecatan itu akan dikeluarkan dengan segera selepas Biro Politik membuat keputusan sebulat suara terhadap syor Lembaga Disiplin.

"Lembaga Disiplin hari ini memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu serta sebulat suara bersetuju memecat beliau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kasim, Naib Presiden Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 11:02pm
d