mutakhir

Awek `servis' Vietnam paling ramai

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

WANITA Vietnam paling ramai ditahan polis dalam 653 serbuan membanteras kegiatan pelacuran di sekitar Kuala Lumpur sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 317 orang wanita negara itu yang ditahan dalam tempoh enam bulan lalu, diikuti dengan 275 warga Thailand dan China (227).

Menurutnya, seramai 1,401 warga asing ditahan dalam tempoh enam bulan itu membabitkan 1,167 wanita, manakala selebihnya adalah lelaki.

Katanya, sebanyak 420 kes sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan dan selebihnya masih dalam siasatan atau sedang diteliti Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Polis Kuala Lumpur turut membuat sebanyak 569 tangkapan terhadap warga tempatan yang terdiri daripada 242 perempuan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran dan 327 lelaki yang menjadi penjaga premis untuk kegiatan berkenaan.

“Tindakan saman untuk premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan pula adalah sebanyak 136 saman,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Mazlan berkata, selain kegiatan pelacuran, polis juga giat memerangi kegiatan perjudian atas talian (JOL).

“Sejak Januari hingga Jun lalu, sebanyak 8,836 kali pemeriksaan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur yang mana sebanyak 89 serbuan dibuat dan seramai 794 orang ditahan.

“Wang tunai sebanyak RM98,357, tablet (111), telefon (1,100), komputer riba (333), komputer (522), modem (101), router (55) dan tiga simulator turut dirampas sepanjang tempoh itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga komited dalam membanteras lain-lain jenis perjudian dan melakukan sebanyak 280 serbuan membabitkan 388 tangkapan dengan rampasan wang tunai sebanyak RM97,393 dalam tempoh yang sama.

“Pihak polis akan mengenal pasti dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Undang-Undang Pencegahan Jenayah sedia ada terhadap tauke judi dan orang tengah (runner) dalam usaha memerangi JOL ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat pula boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 1:06am
d