mutakhir

RM2 juta sumbangan dana politik

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa cek berjumlah RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd (Tadmansori) milik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertujuan untuk sumbangan politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Saksi keenam pendakwaan, Ketua Pegawai Operasi Tadmansori, Datuk Mohd Hasbi Jaafar, 55, berkata perkara itu diberitahu oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu melalui panggilan telefon yang dibuatnya sejurus menerima salinan slip deposit cek melalui aplikasi WhatsApp pada 14 Jun 2016.

“Selepas menerima WhatsApp daripada Tengku Adnan, kami ada berbual melalui panggilan telefon.

“Saya beritahu beliau bahawa sudah menerima salinan slip deposit cek dan saya bertanya kepadanya, cek itu untuk apa selain memberitahu cek berkenaan sudah clear (ditunaikan),” katanya yang sudah 24 tahun berkhidmat di Tadmansori.

Menjawab soalan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, adakah tertuduh menyebut wang berkenaan bertujuan sebagai sumbangan politik untuk dua PRK, Mohd Hasbi menjawab ‘Ya benar’.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank (HLIB) milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas) yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori yang beliau mempunyai kepentingan yang diketahui Aset Kayamas ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid meminta penjelasan lanjut mengenai sumbangan politik, Mohd Hasbi berkata, “Selepas kami berkomunikasi dan fahami kemasukan wang itu adalah untuk political donation (sumbangan politik) tapi cara itu diandaikan sebagai jumlah advance (didahulukan) oleh syarikat bagi memastikan ia (wang) sudah masuk ke dalam akaun syarikat.”

Berdasarkan penyataan saksi, Mohd Hasbi mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menerima cek HLIB milik Aset Kayamas berjumlah RM2 juta secara fizikal dan hanya mengetahuinya melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar Tengku Adnan.

Beliau turut mengesahkan Tadmansori tidak pernah berurusan dengan Aset Kayamas.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 5:00am
d