mutakhir

'Abang pilot' teruja menjadi tetamu Allah

Oleh Samadi Ahmad

SEORANG juruterbang syarikat penerbangan nasional bersyukur apabila dipilih Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menunaikan ibadat haji tahun ini atas rezeki isterinya.

Iskandar Omar, 58, berkata hajat untuk menunaikan haji tercapai apabila dipilih untuk menemaninya isterinya, Suzana Mohd Yasin, 55, yang mendaftar haji dengan TH pada 2008.

Beliau yang menetap di TTDI Jaya, Shah Alam, berkata isteri menerima tawaran TH itu memandangkan tidak banyak masalah yang perlu difikirkan ketika mengerjakan haji kerana lima anak yang tinggal bersama mereka sudah besar dan bekerja.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada majikannya kerana memberi pelepasan cuti bergaji untuk mengerjakan haji dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk beribadat dan mendapat haji mabrur.

“Alhamdulillah niat untuk mengerjakan haji bersama isteri tercapai dan sepatutnya mengikut giliran ditawarkan menunaikan haji pada 2020 ,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan kedua, hari ini.

Iskandar yang bertugas dengan syarikat penerbangan Fire Fly berkata, beliau gembira bercampur sedih diberi peluang menjadi tetamu Allah kerana pertama kali berpisah lama dengan anak-anak dan meninggalkan ibu yang kurang sihat di kampung di Jitra, Kedah.

Sementara itu, Suzana bersyukur menerima peluang mengerjakan haji ketika masih sihat dan berharap mampu melakukan ibadat itu dengan sempurna.

Suri rumah itu berkata, sebelum berangkat ke Tanah Suci, beliau mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal, termasuk berjogging setiap hari dan berharap usaha itu dapat membantu melakukan ibadat haji dengan sempurna.

Seramai 483 jemaah haji pertama musim 1440 Hijrah/2019 berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan Malaysian Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8100 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah jam 5 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 467 terdiri daripada jemaah haji, manakala 16 lagi petugas TH dan media.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 9:17am
d