mutakhir

Tiga bot persiaran di Langkawi ditahan

Oleh BERNAMA

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan tiga bot persiaran pelancongan kerana melanggar syarat lesen dengan membawa lebihan penumpang dalam satu operasi di perairan Laut Selat, Penarak, Langkawi, petang semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, tindakan diambil kerana pengusaha tidak menitikberatkan aspek keselamatan ke atas para pelancong yang menaiki bot layar itu.

Katanya, semasa operasi, ketiga-tiga bot layar itu didapati membawa pelancong warga China.

“Bot layar tempatan pertama ditahan kira-kira 5.30 petang selepas didapati membawa 30 pelancong berbanding syarat lesen yang hanya membenarkan 12 orang sahaja. Bot layar kedua ditahan kira-kira 5.45 petang kerana membawa 35 pelancong.

“Kira-kira 6 petang, anggota pasukan operasi berjaya mengesan sebuah lagi bot layar yang membawa 60 pelancong berbanding syarat lesen iaitu 12 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rohizan berkata, tiga bot layar yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Laut Langkawi untuk siasatan mengikut Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“PPM Wilayah 1 Langkawi akan meneruskan operasi dan tidak akan bertolak ansur mengenai aspek keselamatan di laut,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 9:46am
d