mutakhir

Derita Irfan kerana toksik Sungai Kim-Kim [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein

“SAYA nak kaki saya cepat sembuh, nak jadi normal macam dulu balik,” kata Irfan Wafi Idham Wazir, 12, yang kini menderita apabila saraf kakinya menjadi lemah dan disahkan positif Myokymia susulan pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Irfan yang dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail (HSI) selama 10 hari selepas terjejas dalam insiden itu adalah pesakit yang paling lama menerima rawatan di wad.

Toksik Sungai Kim Kim bukan saja memberi kesan kepada fizikalnya yang kini sudah tidak boleh berlari, mencangkung malah membengkokkan lututnya, Irfan turut mengalami kesan trauma sehingga tidak boleh melalui beberapa lokasi di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia.

"Takut. Bila lalu dekat sekolah itu, dapat ingat balik kejadian dulu. Masa kejadian itu, saya ada terhidu bau yang sangat busuk, kemudian saya terus pengsan," katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, selepas terkesan dalam insiden itu, kakinya sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang perubahan.

"Setiap masa kaki sakit, tak boleh orang pegang. Sampai sekarang tiada perubahan langsung. "Rindu nak main dengan kawan-kawan, kalau boleh saya nak cepatkan kaki ini supaya sembuh, nak jadi normal macam dulu balik, kalau dulu boleh masuk kawad kaki," katanya.

Selain trauma ketika di sekolah, Irfan berkata dia juga berasa takut tanpa mengetahui puncanya.

“Bila malam nak tidur, kadang-kadang saya dengar ada orang batuk, ada orang jerit. Bila bangun tidur, saya selalu ada rasa takut, tetapi tak tahu sebab apa,” katanya.

Ibu Irfan, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, Irfan seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria, malah tidak pernah sakit sebelum insiden yang berlaku pada Mac itu.

"Dia murid pandai, cikgu juga meletakkannya dalam senarai pelajar sasaran 6A untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Tetapi, selepas kejadian itu, dia sukar nak menjalani kehidupannya seperti biasa. Nak solat susah, nak berlari sudah tidak boleh, duduk pun tak boleh. Tetapi, Alhamdulillah anak saya masih boleh belajar, cuma pergerakannya terbatas," katanya.

Wartawan Harian Metro juga dapat melihat kedua-dua kaki Irfan yang menggigil tanpa henti kira-kira 30 minit apabila dia berdiri dan berjalan lama.

Norlela berkata, sejak Mac hingga kini, Irfan perlu menjalani pemeriksaan lanjut di hospital tiga kali sebulan termasuk menjalani rawatan fisioterapi selain pemeriksaan psikologi.

“Saya juga perlu membawa Irfan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjumpa pakar paedatrik di sana untuk rawatan lanjut. Sehingga kini tidak ada ubat yang diberikan selain ubat sawan, panadol dan ubat tahan sakit, tetapi anak saya tidak pernah diserang sawan. Katanya, ini kes bahan kimia pertama di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, satu pertemuan akan diaturkan kerajaan negeri bagi membantu kanak-kanak itu.

Beliau berkata, pertemuan itu untuk mengenalpasti keperluan Irfan Wafi.

“Selepas ini saya akan jumpa (keluarga Irfan Wafi). Kita akan pastikan apa yang mereka perlukan,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 1:29pm
d