mutakhir

Mohon pindah kes Bung Moktar dan Zizie

Oleh Murni Wan Omar

PIHAK pendakwaan sudah memfailkan notis usul untuk memindahkan kes rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Menurutnya permohonan itu sudah difailkan pada 18 Jun lalu dan kini menunggu untuk ia disebut di Mahkamah Tinggi.

“Kami juga akan memfailkan permohonan untuk kes yang dihadapi kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama memandangkan ia membabitkan transaksi yang sama.

“Kami juga mahu memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua dokumen berkaitan kes sudah diserahkan kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili kedua-dua tertuduh mengesahkan perkara itu.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk mengetahui status kes.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som menetapkan 9 Ogos depan untuk mendengar permohonan kes kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei lalu, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan suaminya atas ketiga-tiga kesalahan itu.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 1:44pm
d