mutakhir

Didenda RM1,000 kerana RM86 [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

AKIBAT memberi rasuah sebanyak RM86 kepada anggota polis, penjual aiskrim warga Pakistan dipenjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Tertuduh, Khan Sabz Ali, 33, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Urdu di hadapan hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mohd Ghazali turut memerintah tertuduh menjalani hukuman tambahan selama dua bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan dalam not RM50, RM10 dan RM1 yang keseluruhannya berjumlah RM86 kepada Ketua Balai Polis Bukit Fraser, Sarjan Mejar Maznan Omar sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atasnya yang melakukan kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bukit Fraser pada 29 Jun lalu, 1.45 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Khan Sabz memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana dia menanggung seorang isteri dan empat orang anak di Pakistan.

“Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama. Saya benar-benar memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, pada hari kejadian tertuduh ditahan Maznan dan tiga anggota polis semasa menunggang motosikal yang mempunyai peti aiskrim berhampiran menara jam Bukit Fraser.

Tertuduh didakwa gagal menunjukkan lesen memandu menyebabkan Maznan menyuruh dua anggotanya untuk mengeluarkan surat saman terhadap tertuduh.

Tertuduh yang cuba mengelak daripada disaman kemudiannya menunjukkan wang kertas di tangan kanannya kepada Maznan, dan dikatakan cuba menawarkan wang itu sebanyak tiga kali termasuk semasa berada di balai polis.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 2:11pm
d