mutakhir

Meninggal dunia selepas lebih dua jam

Oleh Hasbi Sidek

WANITA yang mengalami patah kaki kanan dan tangan kiri selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Bukit Kadir, Jalan Nilai- Salak, dekat Nilai, semalam, meninggal dunia jam 11 pagi semalam, di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Seremban.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, kenderaan dipandu A K Vinayagi, 34, dikatakan terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain sebelum terbabas dan melanggar tiang papan tanda.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan petang semalam mendapati punca kematian akibat beberapa kecederaan pada badan.

“Pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan patah pada kaki kanan dan tangan kiri dihantar ke Bahagian Kecemasan HTJS untuk menerima rawatan.

“Pihak kami dimaklumkan mangsa meninggal dunia jam 11 pagi dan bedah siasat dijalankan jam 2.30 petang untuk mengetahui sebab kematian. Hasilnya, kami mendapati kematian berpunca daripada beberapa kecederaan akibat kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dua lagi kenderaan tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita patah kaki kanan dan tangan kiri terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain sebelum merempuh tiang papan tanda di Kampung Bukit Kadir, Jalan Nilai- Salak.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 3:27pm
d