mutakhir

Anak tiri Najib didakwa esok

ANAK tiri kepada bekas Perdana Menteri, Riza Aziz ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tengah hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika dihubungi hari ini, mengesahkan penahanan Riza sebelum produser filem Hollywood itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Dia akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” katanya

Terdahulu, sumber berkata, Riza yang juga pemilik Red Granite Pictures akan didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram dari Good Star Ltd, syarikat yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebelum ini media melaporkan Malaysia sudah menerima pemindahan pertama dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang disita daripada Red Granite Pictures.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang berkata, pembayaran pertama dana itu diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Riza, 49, adalah Ketua Eksekutif Red Granite Pictures dan menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf Wall Street’ yang disaman DOJ bagi tujuan memulangkan AS$1 bilion dana didakwa disalahgunakan berasal dari 1MDB.

Riza sebelum ini dipanggil ke SPRM sebanyak empat kali bermula 3 Julai tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 5:20pm
d