mutakhir

Benda boleh bincang...

Oleh Asrol Awang

SEORANG pemandu kereta terkejut apabila menyedari anak panah melekat pada pintu penumpang sebelah kiri, ketika memandu di Jalan Beserah, dekat Kuantan, semalam.

Tan Theam Lye, 62, berkata, insiden itu berlaku kira-kira 5 petang ketika bersama isterinya, Wong Sow Lan, 54, bersama adik dan bapanya melalui jalan berkenaan menghala ke Lorong Bukit Ubi, dekat Kuantan.

Theam Lye berkata, ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau, isterinya, Sow Lan mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menyedari terdapat anak panah melekat pada pintu kereta dinaiki mereka.

“Kami bernasib baik kerana kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan kerana anak panah sepanjang kira-kira 50 sentimeter tidak menembusi pintu (kereta) kami.

“Anak panah itu dipercayai dari sekolah berhampiran kerana ketika itu sedang berlangsung latihan bagi acara sukan memanah dalam kawasan sekolah terbabit.

“Saya memaklumkan guru sekolah berkenaan dan kes dianggap selesai selepas guru itu membayar ganti rugi RM300 selain tidak membuat laporan polis berkaitan kejadian itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chong Siang di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Chong Siang berkata, pihak sekolah perlu lebih berhati-hati dalam penganjuran latihan sukan seperti memanah atau sukan lain yang mempunyai risiko keselamatan.

Katanya, pihak sekolah sudah menyatakan kesediaan untuk memberhentikan sementara latihan sukan itu sehingga mereka memasang jaring keselamatan.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:05pm
d