mutakhir

Pemandu Grab edar dadah ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN pemandu e-hailing, Grab mencari pendapatan sampingan dengan mengedar dadah mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Pudu Impian di Cheras, bersama 1,011 gram serbuk ekstasi, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 7 malam itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan memandu kereta Proton Saga BLM ditahan di tepi jalan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas menerima maklumat berhubung kegiatan suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, hasil pemeriksaan menemui bungkusan plastik hitam berisi 28 paket plastik disyaki dadah serbuk ekstasi.

Katanya, jumlah dadah dirampas bernilai RM10,110 yang mana ia mampu dibekalkan kepada 2,000 penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mendapat maklumat punca bekalan dan pembabitan pengedaran yang dijalankan.

“Semakan juga mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan dia direman tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 7:58pm
d