mutakhir

Tiga emas harumkan nama Koir UiTM [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PASUKAN koir Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkul tiga emas dalam semua kategori disertai di Pertandingan dan Festival Koir Antarabangsa Copernicus ke-7 di Torun, Poland, semalam.

Tiga kategori berkenaan adalah kategori Mixed Choir (Koir Campuran) dan Folklore (Lagu Rakyat/Budaya) oleh UiTM Chamber Choir (UCC) serta kategori Female Choir (Koir Wanita) oleh UiTM Women’s Chorale (UCS).

UCC turut berjaya menerima dua lagi anugerah khas iaitu Hadiah Khas Penonton dan Grand Prix of All Volunteers Awards.

Pertandingan dan Festival Antarabangsa Koir Copernicus 'Per Musicam ad Astra' ke-tujuh bermula sejak 29 Jun sehingga 3 Julai menyaksikan penyertaan daripada 52 kumpulan koir, tetapi hanya 12 kumpulan sahaja layak ke pusingan akhir.

Antara negara berentap pada pusingan akhir termasuk Poland, Latvia, Lithuania, Taiwan, Filipina, Indonesia, Afrika Selatan dan Malaysia.

UCC mempersembahkan tiga lagu sewaktu sesi Konsert Persahabatan (Friendship Concert) dan mempertaruhkan 11 lagu tempatan dan antarabangsa untuk keseluruhan pertandingan itu.

Hadiah Khas Penonton diterima apabila gambar kumpulan dari UiTM itu mendapat lebih 7500 ‘likes’ melalui undian secara atas talian di Facebook.

Manakala, anugerah khas Grand Prix of All Volunteers pula berdasarkan hasil undian sukarelawan yang mengendalikan keseluruhan program itu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim dalam satu kenyataan berkata, kejayaan bersejarah itu adalah satu pengiktirafan di pertingkat tertinggi terhadap kualiti bakat dan khazanah seni dimiliki.

“Saya mewakili seluruh warga UiTM ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada warga Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan sehingga mereka berjaya memenangi anugerah khas itu," katanya.

Semua 30 ahli koir terdiri daripada pelajar diploma sehingga ke ijazah sarjana serta alumni Fakulti Muzik UiTM dan mereka memulakan latihan intensif sejak akhir 2018 lagi untuk sesi jelajah kali ini.

Dalam pada itu, UCC kini mengikuti satu lagi pertandingan koir iaitu Pertandingan dan Festival Koir Johannes Brahms di Jerman pada 3 hingga 7 Julai ini.

UCC ditubuhkan sejak 2015 oleh Pensyarah Kanan Fakulti Muzik UiTM, Dr Masashi Kishimoto sudah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia di mata dunia melalui pelbagai persembahan selain menjuarai pertandingan koir di dalam dan luar negara.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 9:14pm
d