mutakhir

Najib, KJ, Abdul Hadi sokong, tapi...

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Zanariah Abd Mutalib

LANDSKAP politik negara akan lebih sukar untuk dijangka dan kemungkinan semakin tidak menentu jika had usia mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan pemerhatiannya, orang muda pada usia 18 tahun secara umumnya lebih mudah terpengaruh dan tidak begitu matang.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sekolah akan menjadi medan pertarungan bagi parti politik dan keadaan itu tidak sihat untuk persekitaran pendidikan.

“Universiti tidak mengapa tetapi bukan sekolah. Jadi, itu adalah dua pandangan saya tapi kita tidak boleh menentang trend dunia yang mana banyak negara menurunkan had usia (mengundi) kepada 18 tahun.

“Saya rasa saya akan menyokong (pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia mengundi), asalkan pendaftarannya adalah automatik,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau terdahulu mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di lobi Parlimen.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang menyatakan bahawa mereka akan menyokong cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun jika pendaftaran automatik sebagai pengundi dilaksanakan pada usia 18 tahun.

Mengenai pertemuan itu, Najib berkata, kedua-dua mereka bersetuju bahawa politik di Malaysia perlu berkembang tanpa membabitkan serangan atau pembunuhan karakter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan perlembagaan bagi menurunkan had usia mengundi sepatutnya dibuat sekali dengan pendaftaran automatik.

“Dari segi pendirian pembangkang, kita sokong jika kedua-dua ini dilaksanakan tapi memandangkan satu sahaja (mahu dilaksanakan), pada dasarnya kita setuju diturunkan (usia mengundi) kepada 18 tahun.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad oleh pihak kepemimpinan pembangkang sama ada sokong atau tidak, ia akan dibuat secara berasingan,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembangkang bersetuju dengan pindaan itu, namun turut menuntut pendaftaran automatik.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pendaftaran automatik perlu kerana rakyat Malaysia malas untuk mendaftar sebagai pengundi.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 9:43pm
d