mutakhir

'Tidak bersalah dan mohon dibicarakan'

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

ANAK tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah USD248.173 juta hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapan tahun lalu.

“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Riza Aziz atau nama penuhnya Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, yang membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Riza yang kelihatan tenang hadir ke mahkamah memakai kot berwarna hitam.

Turut hadir pada prosiding hati ini, dua anak Najib iaitu Norashman dan Nooryana Najwa.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Riza didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram masing-masing berjumlah USD1,173,104.00 dan USD9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat milik Red Granite Productions Inc.

Wang itu adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles California, Amerika Syarikat masing-masing antara 12 April 2011 dan 12 Mei 2011; dan antara 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, Riza didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram masing-masing berjumlah USD133 juta, USD60 juta dan USD45 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Limited.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di BSI Bank Limited 7, Temasek Boulevard 32-01 Suntech Tower 1, Singapura pada 18 Jun, 23 Oktober dan 14 November 2012.

Bagi kesemua pertuduhan itu, pengasas bersama syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Riza Aziz diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent.

Terdahulu, Gopal Sri Ram menawarkan jaminan RM1juta dengan dua penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Hariharan menerima jumlah jaminan itu bagaimanapun Kumaraendran memohon bayaran jaminan dibuat secara ansuran iaitu RM500,000 pada hari ini dan bakinya pada Isnin memandangkan anak guamnya tidak sempat menyediakan wang jaminan.

Mahkamah menolak permohonan itu dan kemudian menetapkan jumlah jaminan RM1 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan Malaysia sudah menerima pemindahan pertama dana yang dikaitkan dengan 1MDB sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang disita daripada Red Granite Pictures.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang berkata pembayaran pertama dana itu diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Riza adalah Ketua Eksekutif Red Granite Pictures dan menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf of Wall Street’ yang disaman DOJ bagi tujuan memulangkan AS$1 bilion dana didakwa disalahgunakan berasal dari 1MDB.

Riza sebelum ini dipanggil ke SPRM sebanyak empat kali bermula 3 Julai tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 10:29am
d