mutakhir

966 jemaah haji dah tiba di Madinah

Oleh Yusri Abdul Malek

PALUAN gendang, siraman air mawar, bunga ros, kurma ajwa dan air zam-zam menyambut ketibaan jemaah haji di lapangan terbang dan hotel penginapan di Madinah, semalam.

Semua jemaah berkenaan tiba dengan dua penerbangan KT01 dan KT02.

Setakat ini, seramai 966 jemaah haji sudah berada di Madinah.

Mereka akan berada di sini selama enam hari sebelum memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah dan haji.

Kumpulan pertama jemaah tiba 11.50 pagi waktu tempatan atau 4.50 petang waktu Malaysia, manakala kumpulan kedua tiba 5.47 petang waktu tempatan atau 10.47 malam waktu Malaysia.

Penulis yang turut berada dalam kalangan jemaah pertama mendapati perjalanan begitu lancar sejak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hinggalah mendarat di Lapangan Terbang Prince Muhamad Abdul Aziz di sini.

Urusan imigresen juga lancar sejak kerajaan Arab Saudi melaksanakan "Mecce Route" sejak tahun lalu. Jemaah tidak perlu lagi tunggu lama hingga berjam-jam untuk proses imigresen kerana urusan kini dibuat di KLIA.

Dalam pada itu, sebaik tiba di sini, kebanyakan jemaah tidak membuang masa berada di bilik sebaliknya terus mengunjungi Masjid Nabawi untuk melakukan ibadah solat sunat dan sebagainya.

Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan lima hotel penempatan iaitu Hotel Al- Haram, Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As- Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq yang terletak antara 100 hingga 300 meter dari Masjid Nabawi.

Cuaca di sini juga mencecah 47 darjah celsius dan panas.

Berikutan itu, jemaah sentiasa diingatkan agar meminum banyak air bagi mengelak strok haba.

Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) TH Nurriananuwar Shamsuddin berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif pra pelepasan ‘Mecca Route’ bagi semua jemaah haji Malaysia.

"Pelaksanaan program ini terbukti mengurangkan masa jemaah berada untuk menjalani pemeriksaan imigresen yang dapat diselesaikan dalam tempoh 45 minit berbanding tiga atau empat jam sebelum program ini dijalankan," katanya ketika ditemui hari ini.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 10:59am
d