mutakhir

Pemandu lori maut, dua kelindan parah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMANDU lori maut, dua kelindan parah selepas lori dinaiki mereka melanggar lori membawa muatan simen konkrit di Kilometer 20.9 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala utara dari Kota Damansara menuju ke Bukit Lanjan, Petaling Jaya hari ini.

Kejadian 3.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Fuad Sairan, 26, disahkan maut di lokasi manakala dua kelindan iaitu Mohd Akbar Shah Indra Mohd Hilmi, 25, dan Mohamad Norizam Amin, 35, parah. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa yang membawa muatan perabot dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor melalui lebuh raya terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan simen konkrit.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori maut di lokasi manakala dua lagi kelindan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, pemandu lori membawa muatan simen konkrit berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Kelindan yang parah itu dikejarkan ke hospital sama.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Azirul Ikmal Mohamed Nordin di talian 013 4284263,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 11:27am
d