mutakhir

Kan polis dah panggil...

Oleh Amran Yahya

ENAM saksi kes pukul pelajar sekolah menengah di Kuala Pilah, 2 Julai lalu, dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, mereka termasuk suspek kes itu iaitu pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama.

“Kami terima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyiasat kes ini dan semua suspek yang terbabit dipanggil untuk dirakam percakapan mereka hari ini.

“Seramai enam saksi termasuk suspek dipanggil termasuk individu yang merakam video (kejadian itu). Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan pelajar lelaki Tingkatan Dua cedera selepas dipukul rakan sekelasnya di kawasan letak motosikal berhampiran bangunan kediaman warden asrama sekolahnya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang berpakaian seragam sekolah dibelasah oleh rakannya gara-gara perselisihan faham yang berlaku antara mereka akibat mengejek nama ibu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di bahagian bahu, leher, pinggang dan ibu jari kaki.

Berdasarkan rakaman video insiden itu yang tular di media sosial, mangsa dilihat diserang sehingga terjatuh sebelum ditumbuk pada kepala dan ditendang di belakang badan.

Pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, bersorak serta menghasut suspek supaya memukul mangsa.

Berita berkaitan

Ejek nama ibu punya pasal... [METROTV]

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 3:28pm
d