mutakhir

'Terima kasih nak'

Oleh Faliq Lajim

“ALHAMDULILLAH, semuanya dipermudahkan. Saya tak sangka dapat tunaikan haji tahun ini sedangkan giliran saya 2021.

“Lebih terharu apabila empat anak kumpul duit untuk bawa saya ke tanah suci,” kata Fatimah Pon Hassan, 75.

Warga emas itu berangkat ke tanah suci bersama dua anaknya, Zilawati Mohd Yusoff, 56, dan Noor Azmer, 52, serta menantu, Mariati Abdullah, 49.

Fatimah berkata, ini kali pertama dia mengerjakan haji begitu juga anak-anaknya.

“Pada usia ini, saya tak sangka masih berpeluang menunaikan haji, doa saya dimakbulkan Allah SWT.

“Saya berbesar hati apabila menjadi tetamu Allah SWT kali ini. Semoga kami termasuk semua jemaah yang lain mendapat haji mabrur,” katanya yang tinggal di Kampung Jawa, Klang.

Dalam pada itu, dia berharap diberi kesihatan baik supaya dapat memberi tumpuan untuk melakukan ibadat itu dengan sempurna.

“Saya berharap di sana nanti urusan saya dipermudahkan serta jemaah yang lain. Saya pula berkerusi roda dan mengharapkan anak-anak membantu saya di sana.

“Saya ada kencing manis dan darah tinggi. Bagaimanapun, saya sudah membuat persiapan diri dari segi mental dan fizikal termasuk bekalan ubat,” katanya.

Sementara itu, Zilawati berkata, dia bersyukur apabila TH menanggung subsidi bagi pengiring termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan untuk kami sekeluarga. Ibu berkerusi roda dan saya perlu jaga dia serta mengiringinya ketika berada di sana.

“Saya berharap, kesihatan kami sekeluarga termasuk jemaah yang lain baik di sana dan berharap mampu melakukan ibadat itu dengan sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 4:35pm
d