mutakhir

Nyaris diculik van putih

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“MUJUR anak saya sempat melarikan diri ke kedai berhampiran yang mana ketika itu ada orang lain menyebabkan dua lelaki menaiki van putih terus beredar,”

Itu kata Azman, 52, yang mendakwa anak lelakinya berusia 12 tahun nyaris menjadi mangsa culik dua lelaki menaiki van putih di kawasan Blok Teratai, Seksyen 6, Kota Damansara hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, kanak-kanak terbabit berjalan berseorangan ke sekolah yang tidak jauh dari rumahnya sebelum didatangi lelaki itu.

Azman berkata, anaknya memberitahu, salah seorang daripadanya keluar dan memberinya gula-gula namun anaknya enggan menyebabkan lelaki itu ingin memberi wang tunai RM50 namun

dengan syarat masuk ke dalam van.

Menurutnya, anaknya yang ketakutan terus berlari ke kedai berhampiran dan mujur tidak diapa-apakan.

“Saya pula ketika itu di tempat kerja di Pudu dan terus bergegas pulang apabila diberitahu isteri mengenai kejadian itu.

“Bimbang kejadian sama berulang saya membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan anaknya tidak ke sekolah hari ini dan masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan masih dijalankan.

“Kita nak siasat perkara lain...percakapan kanak-kanak ini akan dirakam lagi bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan itu untuk mengetahui insiden terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 6:40pm
d