mutakhir

Polis tahan 22 'mayat hidup'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 22 individu termasuk dua wanita ditahan dalam Op Sarang sekitar Kampung Tasek Permai dan Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya, menerusi serbuan sejak Rabu lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, semua suspek ditahan berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun.

“Majoriti suspek ditahan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan didapati giat mendapatkan bekalan dadah dan air ketum di kawasan kampung berkenaan sejak lima bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap semua suspek berjaya merampas dadah disyaki pil erimin 5 seberat 0.99 gram dianggarkan bernilai RM100.

“Selain itu, kami turut merampas syabu seberat 13.54 gram bernilai RM1,350, ganja seberat 4.1 gram (RM750), air ketum berjumlah 87 liter (RM870),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, salah seorang daripada 22 individu ditahan dikehendaki polis mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Terdapat beberapa kertas siasatan baru dibuka atas pelbagai kesalahan berdasarkan tangkapan diperoleh hasil operasi ini membabitkan ADB dan Akta Racun 1952.

“Berdasarkan statistik hingga Jun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ampang Jaya berjaya menahan enam individu mengikut Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK) 1985 dan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Beliau berkata, Op Sarang berjaya mengurangkan bekalan dan permintaan dadah serta air ketum.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat terjamin.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada maklumat dan kerjasama dari orang awam yang sentiasa prihatin dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 8:05pm
d