mutakhir

Tak sempat masak untuk rakan

Oleh Rosli Ilham

IMPIAN lelaki warga Nepal menyediakan makan malam sempena hari jadi rakannya musnah apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (depan Masjid Hadhari), Paka, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, Rai Bishal, 21, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kecederaan dalaman.

Rakannya, Khadka Dal Bahadur, 21, yang membonceng motosikal sama patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 28 tahun memperlahankan Honda Civic dipandunya untuk mencari parkir bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Beliau berkata, mangsa tiba-tiba merempuh belakang kereta itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan.

“Ketika kejadian, dua mangsa yang bekerja di syarikat industri di Kerteh dalam perjalanan ke rumah sewa mereka di Paka.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Thong, 30, berkata, mangsa memberitahu sangat gembira kerana berpeluang memasak sempena menyambut hari jadi seorang rakannya.

“Dia (mangsa) tidak bekerja hari ini, mungkin dia ke pejabat dan pinjam motosikal rakan yang juga penduduk tempatan untuk membeli barangan di bandar Paka.

“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa mangsa selepas dihubungi rakan dan pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaan mangsa.

“Saya ingat mangsa hanya terbabit dalam kemalangan kecil, namun sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut apabila mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 10:37pm
d