mutakhir

Hasrat hati bawa ke mati

Oleh Rosli Ilham

HASRAT seorang warga Nepal menyediakan makan malam sempena hari lahir rakannya tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (depan Masjid Hadhari), Paka di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, Rai Bishal, 21, yang menunggang Honda EX5 maut di lokasi akibat parah di kepala.

Rakannya, Khadka Dal Bahadur, 21, yang membonceng motosikal itu patah kaki kiri dan dirawat di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 28 tahun yang memandu Honda Civic memperlahankan kenderaan untuk berhenti bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

Katanya, mangsa yang datang dari arah belakang kemudian merempuh kereta itu.

“Kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah syarikat industri di Kertih dalam perjalanan ke rumah sewa mereka di Paka.

“Mayat dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Thong, 30, berkata, mangsa memberitahu dia gembira kerana berpeluang memasak sempena menyambut hari lahir seorang rakan mereka.

“Dia (mangsa) tidak bekerja hari ini, mungkin dia ke pejabat dan pinjam motosikal rakan yang juga penduduk tempatan untuk membeli barang,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 6:01am
d