mutakhir

GRO tak sempat lari

Oleh Nur Lela Zulkipli

CUBAAN 21 warga asing yang juga GRO melarikan diri melalui lubang tikus dalam serbuan di pusat hiburan di Klang, gagal selepas dicekup pihak berkuasa, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 11.30 malam hingga 2.30 pagi itu, kesemua suspek yang disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, kesemua suspek yang juga warga Vietnam di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan, kita dapati pusat hiburan ini baru dua bulan beroperasi dan semua wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Malah, ketika serbuan, kesemua suspek cuba melarikan diri melalui lubang tikus yang tersembuyi di bahagian belakang premis, namun gagal apabila kita bertindak lebih pantas dari mereka,” katanya.

Dalam serbuan berkenaan juga, polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 57 pengunjung yang juga rakyat tempatan.

Menurut Azmin, modus operandi yang digunakan GRO berkenaan adalah dengan melayan pelanggan untuk berhibur sambil minum minuman keras.

“Kesemua GRO itu akan menerima bayaran tip bergantung berapa banyak bilangan minuman keras yang dipesan oleh pelanggan dari kaunter.

“Semakin banyak arak yang dipesan oleh pelanggan makin banyak tip bayaran yang diterima oleh mereka,” katanya.

Kesemua suspek akan disiasat atas kesalahan akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan dan menggaji warga asing tanpa kebenaran.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 10:49am
d