mutakhir

Berkat simpan RM5 sebulan...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POTONGAN gaji RM5 sebulan ke akaun bank tiga anak sejak bayi membolehkan lima sekeluarga menunaikan haji bersama pada tahun ini.

Lima beranak berkenaan, Mohd Nor Che Soh, 62, isterinya, Zariah Noor, 58, dan tiga anak mereka, Aliefah Ilyani, 29, Muhammad Ilham Rifaaie, 26, dan anak bongsu, Muhammad Amir Haziq, 16, Kampung Beris Kubur Besar, Bachok, terpilih menjadi tetamu Allah.

Mereka antara 150 orang jemaah haji negeri Kelantan yang terdiri daripada 62 lelaki dan 88 wanita yang akan menunaikan ibadat haji yang berlepas ke Tanah Suci Makkah jam 5.30 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Nor yang juga pesara guru berkata, ketika anaknya berusia dua bulan, dia membuka akaun di Lembaga Tabung Haji (TH) dan membuat potongan gaji RM5 sebulan.

“Alhamdulillah, hasil potongan gaji itu membolehkan tiga anak menunaikan haji bersama saya dan isteri.

“Kami memang merancang mahu menunaikan ibadat haji bersama-sama dan membuat pendaftaran di TH pada 2007. Saya bersyukur kerana impian kami sekeluarga untuk ke Makkah dimakbulkan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hadir merasmikan Majlis Pelepasan Jemaah Haji di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail, di Panji, Kota Bharu, malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Amir Haziq ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan dapat menunaikan haji dalam usia muda dan masih bersekolah di Tingkatan Empat di Maahad Amir Indra Petra, Bachok.

“Saya mengetahui dapat menunaikan haji awal tahun ini selepas abah membuat pemeriksaan nama di TH.

“Pada awalnya saya terkejut tetapi bersyukur kerana dapat menunaikan haji bersama keluarga yang membolehkan saya mempelajari atau bertanya kepada abah jika tidak faham ketika berada di Makkah.

“Sebagai persediaan, setiap minggu kami sekeluarga menghadiri kursus haji di Jelawat, Bachok kerana saya mahu mempelajari dan betul-betul bersedia untuk menunaikan haji,” katanya yang akan berada di Makkah selama 47 hari.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri menyediakan sebanyak 13 bas bagi memudahkan jemaah haji Kelantan bergerak dari Kompleks Islam Jubli Perak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

“Kompleks ini memudahkan jemaah haji berkumpul bersama keluarga sebelum mereka ke lapangan terbang. Bagi kemudahan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 setahun dan akan memberi yang terbaik kepada jemaah haji di negeri ini.

“Kita harap jemaah haji dapat mematuhi arahan TH dan menunaikan haji dengan selamat,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 10:59am
d